Selasa, 31 Desember 2013
“Saya Lebih Tenang Insaf” – Ameng
Salam semua,
KLUANG – “Saya kini lebih tenang dan sudah insaf.” Demikian luah penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Ameng ketika ditanya berhubung hukuman diterimanya ketika di penjara.Menurutnya, kehidupan di dalam penjara amat berbeza dan tidak seperti dahulu kerana banyak ilmu agama dapat dipelajari di sana sepanjang beliau menjalani hukuman penjara setahun empat bulan.
"Sejak dipindahkan ke Penjara Kluang, saya kini lebih tenang dan sudah insaf. Saya lihat konsep yang diberikan kepada penghuni di dalam penjara ini lebih kepada konsep sekolah pondok yang mana setiap pagi kami mengerjakan solat subuh secara berjemaah, menghadiri kelas agama, dan semuanya dijalankan secara berkumpulan.“Malah, daripada yang tidak tahu mengaji akan menjadi pandai mengaji selepas masuk ke sini. Begitulah kehidupan saya sehari-hari di dalam Penjara Kluang ini,” katanya.Beliau berkata demikian selepas program Jalinan Kasih Perjumpaan Bersemuka sempena Hari Ibu dan Bapa yang diadakan di Penjara Kluang, Kampung Gajah, dekat sini, semalam.
Katanya, sejak menjalani hukuman di penjara tersebut, beliau turut berpeluang memberi motivasi melalui program ‘mesej’ dari penjara yang mana menceritakan sendiri pengalaman yang dilalui dan bahaya dadah kepada diri sendiri.“Kebanyakan program motivasi yang diberikan itu lebih kepada pelajar sekolah, penuntut universiti dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang datang mengadakan lawatan ke Penjara Kluang.“Dengan motivasi dan perkongsian pengalaman saya itu, mudah-mudahan mereka boleh mengambil iktibar dengan apa yang telah saya lalui ini malah, saya sendiri sudah insaf dengan perbuatan yang pernah saya lakukan dahulu malah, tidak sabar menanti tarikh dibebaskan pada Jun 2016,” katanya.
Menurutnya, beliau akan meneruskan karier sebagai penyanyi dan memberikan motivasi sekiranya diberi peluang selepas dibebaskan nanti.Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Ibu dan Bapa yang dianjurkan Jabatan Penjara Kluang, Ameng turut menerima kunjungan isterinya, Sabariah Zakaria, 42, anaknya, Wan Amar Haikal, 5, dan ibu mertuanya, Maimon Tali, 78.Sabariah berkata, dia setia mengunjungi suaminya dan melawat hampir setiap bulan bersama anaknya.
Menurutnya, dia terpaksa mengharungi kehidupan dengan lebih tabah.“Apabila anak saya tanya mengenai ayahnya, saya akan memberitahu ayahnya kerja dan selang beberapa hari saya akan membawanya melawat ayahnya bagi melepaskan rindu.“Kadang-kadang tidak sampai sebulan saya akan datang ziarah Ameng demi anak yang rindu belaian ayahnya. Memang sedih tetapi itulah dugaan yang perlu dilalui saya sekeluarga,” katanya.Sabariah berkata, sejak menjalani hukuman penjara, Ameng lebih gemar membaca buku-buku agama, majalah dan CD (cakera padat) lagu.
“Semuanya itu atas permintaan Ameng sendiri dan saya membelikannya,” katanya.Ameng sebelum itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April tahun lalu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan memiliki dadah dan satu pertuduhan memasukkan syabu ke dalam badannya. – Sinar Harian Online

Tidak ada komentar:
Posting Komentar